Pensyarah FTKPM cipta pelindung muka 3D untuk petugas barisan hadapan

Pensyarah FTKPM cipta pelindung muka 3D untuk petugas barisan hadapan

KUANTAN - Tiga pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan pelindung muka tiga dimensi (3D) bagi membantu petugas barisan hadapan yang bertugas.


Penutup muka itu dihasilkan Dr Zamzuri Hamedon bersama Dr Ismayuzri Ishak dan Khairul Fikri Muhammad dari Fakulti Teknolgi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, UMP dalam tempoh hanya tiga hari.

Dr Zamzuri berkata, kumpulannya menyumbang pelbagai idea dalam menghasilkan prototaip pelindung muka yang ringkas, ringan, murah dan sesuai digunakan itu sebelum proses cetakan akhir dilakukan. Menurutnya, pada peringkat awal, beliau turut mendapatkan pandangan daripada petugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) supaya dapat mengambil kira kesesuaian dan keselesaan pemakai sebelum menyediakan 30 set pelindung muka.

"Pelindung muka melalui teknologi percetakan 3D yang dikenali sebagai Reusable DIY Face Sheild (RDF) ini terdiri daripada headband, getah gelang dan plastik transparent bersaiz A4 yang mudah diperoleh,"katanya. Katanya, yang lebih penting ia mudah dipakai dan menjimatkan kerana boleh diulang guna malahan plastik penutup di bahagian muka boleh diganti semula dengan plastik yang ada dijual di kedai-kedai. "Pengguna boleh mengguna pelindung muka ini semula antara tiga hingga empat kali bergantung kepada tahap pengunaan namun mereka dinasihatkan menggunakan sanitasi untuk memastikan ia bersih sebelum dan selepas pengggunaannya,"katanya.

Beliau berkata, pada peringkat permulaan, mereka hanya mampu menyiapkan antara 50 hingga 60 set sehari, namun melalui kaedah terbaru yang digunakan, penghasilannya meningkat kepada 150 hingga 200 set sehari. "Setiap pek bungkusan mempunyai lima set pelindung muka RDF dilengkapi manual penggunaan. "Sesuai dengan situasi sekatan perjalanan dan kekangan penghantaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini, kami membuat penghantaran menggunakan kiriman pos (postage). "Setakat ini, edaran turut dibuat kepada staf kesihatan dan keselamatan universiti, hospital dan klinik kesihatan di sekitar Negeri Pahang seperti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS), Temerloh, Hospital Jengka, Klinik Kesihatan Peramu Jaya dan Pusat Kesihatan Daerah Pekan,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga turut menyediakan 150 set alat itu untuk Malaysian Relief Agency (MRA) dengan kerjasama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (ANSARA) untuk diedarkan di hospital dan klinik. "Sehingga kini, sebanyak 1,000 set pelindung muka ini berjaya dihasilkan dan diedar secara berperingkat dan percuma buat barisan hadapan di fasiliti kesihatan dan hospital kerajaan serta swasta di negeri ini. "Bermula dengan tempahan daripada rakan-rakan terdekat kini pelindung muka ini diedar di seluruh Malaysia sehingga ke utara tanah air," katanya. Menurutnya, pelindung muka itu kini digunakan petugas di Hospital Pekan, Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Seri Manjung, Hospital Pakar KPJ Shah Alam, Klinik Kesihatan Nilai, Klinik Kesihatan Mentakab, IPD Kuantan dan banyak lagi.


Sumber berita di sini.


Print   Email